fbpx

Adakah Hibah Hartanah Bercagar Boleh Dikuatkuasakan?

ADAKAH HIBAH HARTANAH BERCAGAR BOLEH DI KUAT KUASAKAN?

 

Pendapat Ulama Mengenai Definisi Hibah

  1. Hibah ialah Pemberian Tanpa Balasan (Al-Fayyumi, Misbah Munir)
  2. Suatu pemberian milik terhadap sesuatu harta berkuatkuasa serta merta secara percuma. (Mughni Muhtaj, Imam Khatib Syarbini)
  3. Pemberian milik oleh seseorang yang berkeahlian terhadap harta yang diketahui, harta yang wujud ketika itu, dan boleh diserahkan, suatu pemberian yang tidak wajib, berlaku dalam masa hidup dan tanpa balasan (Abu Naja Al-Hajjawi Al-Maqdisi, 1999)

 

 

Definisi Hibah Di Sisi Imam Nawawi

Imam Nawawi telah memberikan definisi yang jelas dengan membezakan di antara Sedekah, Hadiah dan Hibah seperti berikut:

  1. Pemberian kepada seseorang yang berhajat tanpa lafaz ijab dan qabul, ianya adalah sedekah.
  2. Pemberian kepada seseorang yang berhajat yang disertai lafaz ijab dan qabul, maka ianya adalah sedekah dan hibah.
  3. Pemberian kepada seseorang kerana memuliakan orang itu tanpa lafaz ijab dan qabul, ianya adalah hadiah.
  4. Pemberian kepada seseorang kerana memuliakan orang itu dengan adanya lafaz ijab dan qabul, ianya merupakan hadiah dan hibah.
  5. Pemberian bukan kerana untuk mendapat pahala dan bukan pula kerana memuliakan orang yang diberi itu dengan disertai lafaz ijab dan qabul, maka pemberian tersebut hanya hibah semata-mata.

 

Rukun Hibah:

(i)   Pemberi Hibah (Harus memiliki pemilikan sempurna terhadap harta)

(ii)  Penerima Hibah

(iii) Barang yang dihibahkan

(iv) Ijab dan Qabul

Syarat  Lazim Hibah : Qabad

  1. Qabad bermaksud mengambil, menggenggam, memegang & menguasai.
  2. Qabad dalam konteks hibah bermaksud menguasai barang yang diberi oleh penghibah, menjadikan barang itu sebagai harta miliknya dan boleh bertasarruf/berurusan dengan barang tersebut.

 

Pendapat Mazhab Mengenai Qabad

  1. Majoriti Ulama Mazhab Syafie, Hanafi & Hanbali mengiktiraf Qabad adalah syarat lazim untuk Hibah.
  2. Oleh itu, hibah dengan semata-mata ijab & qabul tidak menjadikan hibah itu sempurna dan boleh dikuatkuasakan.

 

Adakah Hibah Harta Bercagar Boleh Dikuatkuasakan?

Untuk menjawab isu ini, kita hendaklah terlebih mengupas maksud pemilikan sempurna di sisi syarak:

  1. Syeikh Muhammad Abu Zahrah meletakkan elemen pemilikan sempurna seperti berikut: “Pengertian Hak Milik yang sempurna adalah suatu hak milik yang mengenai zat barang dan manfaatnya”

 

  1. Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ dalam Al Madkhal Al Fiqhi (m/s 648) :-

“Qabad boleh berlaku dengan berlakunya pindahmilik fizikal pada tanah ataupun terdapat bukti bahawa Penerima Hibah boleh melakukan apa-apa aktiviti di atas harta Hibah tersebut.”

Malaysia telah menerima pakai konsep kewujudan hibah tanpa pemilikan mal secara hakiki tetapi secara hukmi:

“Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pada 25hb Januari 1996 telah membahagikan qabadh kepada 2 bahagian iaitu :-

  1. Qabad Hakiki (Qabad yang dibuat secara jelas dan zahir kepada Penerima Hibah)
  2. Qabad Hukmi (Qabad yang dibuat secara tidak zahir kepada Penerima Hibah)

 

Konsep Pemilikan Sempurna Di Dalam Kanun Tanah Negara

Seksyen 340(1) Kanun Tanah Negara 1965 menyatakan seperti berikut:

340.           Pendaftaran untuk memberi hak milik atau kepentingan yang tak boleh disangkal, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu.

Hak milik atau kepentingan mana-mana orang atau badan buat masa itu didaftarkan sebagai tuanpunya mana-mana tanah, atau atas nama siapa apa-apa pajakan, gadaian atau semen adalah buat masa itu terdaftar, hendaklah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut seksyen ini, tidak boleh disangkal.

Manakala di dalam kes TEH BEE v K MARUTHAMUTHU [1977] 2 MLJ 7, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa:-

(2) the fact that the register document of title was in the name of the appellant was conclusive evidence that the title to the land was vested in the appellant;

(3) under the Torrens System the register is everything and it would be wrong to allow an investigation as to the right of the person to appear upon the register when he holds the certificate of title.

Di dalam kes K Maruthatmuthu ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa apabila nama di dalam geran sudah tertera nama pemiliknya, maka itu adalah bukti kukuh bahawa hartanah itu sudah dimiliki olehnya. Berdasarkan sistem Torren, pendaftaran adalah segala-galanya.

Oleh itu, berdasarkan seksyen 340(1) Kanun Tanah Negara 1965 yang mengamalkan sistem Torren, pemilikan sempurna pada hartanah adalah dibuktikan melalui nama yang tertera pada geran. Justeru itu, Hibah Hartanah Bercagar boleh dikuatkuasakan kerana meskipun sesebuah hartanah itu dicagarkan pada bank kerana masih dalam pembayaran, namun di sisi undang-undang, pemilikan Hartanah adalah terletak pada pemilik yang mana namanya tertera pada geran hak milik.

Kesimpulannya, pemilik hartanah bebas untuk bertransaksi dengan hartanah miliknya termasuklah menjual, menyewa dan menghibahkan hartanah miliknya.

Zulsyahmi Husaini Bin Kamarulzaman
Legal Assistant

Isadora & Associates