fbpx

Aplikasi Wasiat Wajibah di Mahkamah Syariah

APAKAH ITU WASIAT?

APLIKASI WASIAT WAJIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH

PENGENALAN

Peruntukan khusus yang berkaitan dengan wasiat wajibah boleh didapati di dalam Seksyen 27 Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999. Peruntukan yang hampir sama juga diperuntukkan dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Melaka) 2005. Setakat ini hanya tiga negeri ini sahaja yang memperuntukkan secara khusus berhubung dengan wasiat wajibah dalam enakmen masing-masing.

 

 

WASIAT WAJIBAH

Wasiat wajibah adalah satu wasiat yang diwujudkan di bawah peruntukan undang-undang bertulis mengenai wasiat. Ini bermakna sekiranya seseorang waris tersebut tidak membuat wasiat, maka undang-undang atau hakim akan membuat satu wasiat bagi pihaknya.

Seksyen 27(1) Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Melaka) 2005 telah memperuntukkan mengenai wasiat wajibah seperti berikut:

“Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap 1/3 wasiat dan sekiranya cucu itu diberi dengan kadar yang kurang daripada 1/3, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.”

Dalam erti kata lain, jika seorang datuk meninggal tanpa membuat wasiat kepada cucunya yang lahir dari anak lelakinya (yang telah meninggal terlebih dahulu daripadanya atau meninggal serentak dengannya), maka cucu tersebut berhak mendapat 1/3 wasiat. Namun, sekiranya diberi dengan kadar tidak sampai 1/3 wasiat, maka haknya akan disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen tersebut.

 

Penerima Wasiat Wajibah

Ketiga-tiga Enakmen yang tersebut di atas telah memperuntukkan bahawa wasiat wajibah hanya berhak kepada cucu si mati (sama ada lelaki atau perempuan) dari anak lelaki sahaja yang telah mati terlebih dahulu daripada orang tuanya atau mereka kesemuanya mati serentak yang tidak dapat dipastikan siapakah antara mereka yang terlebih dahulu meninggal dunia.

Selain itu dapat difahamkan daripada seksyen tersebut bahawa cucu kepada anak perempuan tidak berhak mendapat wasiat wajibah. Penafian terhadap cucu kepada anak perempuan adalah kerana cucu tersebut dianggap sebagai dhawi al-arham (kaum keluarga si mati yang tidak ditentukan hak pewarisan harta pusaka dalam al-Quran, sunnah atau ijmak) yang tidak berhak mendapat pusaka selagi si mati meninggalkan waris ashab furud dan ‘asabah.

Jika diteliti kepada peruntukan Seksyen 27(1) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 menyatakan ashab wasiat wajibah ialah cucu daripada anak lelakinya, kemudian seksyen 27(2) dan (3) menyatakan “kanak-kanak”. Sekiranya Seksyen 27(2) dan 27(3) mengkhususkan perkataan cucu pada Seksyen 27(1) maka mereka yang berhak mendapat wasiat wajibah adalah cucu daripada anak lelaki (yang telah mati) yang berusia 18 tahun ke bawah sahaja.

Contohnya seorang mati meninggalkan 3 orang anak lelaki, 2 orang anak perempuan, isteri dan 2 orang cucu lelaki dari anak lelaki. Seorang cucu tersebut berusia 25 tahun dan seorang lagi 15 tahun semasa kematian datuk mereka, maka yang berhak mendapat wasiat wajibah hanyalah cucu yang berusia 15 tahun sahaja sedangkan mereka berdua mempunyai bapa yang sama. Keadaan ini nampaknya kurang adil dengan kehendak wasiat wajibah kerana cucu-cucu berkenaan akan mengambil bahagian bapanya jika dia masih hidup dengan syarat tidak melebihi 1/3. Oleh itu peruntukan berkenaan perlu diteliti dan diperhalusi lagi.

Keadaan ini tidak berlaku pada Seksyen 27 (2) dan (3) Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004 dan (Melaka) 2005 yang menjelaskan:

Bahawa kadar wasiat wajibah hendaklah setakat apa yang diterima oleh bapa kepada kanak-kanak tersebut (cucu si mati) daripada harta pusaka datuknya dengan diandaikan bapa itu masih hidup selepas kematian datuk atau neneknya dan kadar tersebut hendaklah dalam Batasan atau tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka si mati.

Sekiranya semasa hidupnya, datuknya itu telah memberi harta sama ada secara wasiat atau pemberian harta secara percuma kepada cucu tersebut dengan kadar yang berhak diterima oleh cucu tersebut melalui wasiat wajibah, maka cucu tersebut tidak lagi berhak ke atas wasiat wajibah.

 

FATWA BERKAITAN WASIAT WAJIBAH DI MALAYSIA

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah. Muzakarah menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan kebajikan dan kesempurnaan hidup umatnya, terutama anak-anak yang kehilangan ahli keluarga mereka. Oleh itu, Muzakarah berpandangan bahawa dalam melaksanakan wasiat wajibah adalah harus mengambil pandangan yang menyatakan bahawa berwasiat kepada ahli-ahli waris (seperti cucu) yang tidak mendapat pusaka disebabkan halangan-halangan tertentu adalah merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan.

Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima wasiat wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau nenek. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.

Pelaksanaan wasiat wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

i. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima wasiat wajibah.

ii. Hendaklah kedua ibu atau bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan datuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.

iii. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fard atau ta’sib, maka mereka tidak layak untuk mendapat wasiat wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding wasiat wajibah.

iv. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak untuk mendapat wasiat wajibah daripada harta pusaka datuk.

v. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucu melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat

wasiat wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang daripada hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan. Maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.

vi. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar ⅓ daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain.

vii. Pembahagian wasiat wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah (wasiat pilihan si mati) dan hutang piutang.

viii. Pembahagian wasiat wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang lelaki menerima bahagian 2 orang perempuan.

 

KESIMPULAN

Hukum asal bagi pelaksanaan wasiat adalah sunat. Walau bagaimanapun, sesuatu hukum boleh berubah dari sunat menjadi wajib setelah diputuskan oleh pemerintah demi menjaga kemaslahatan umum berdasarkan kepada kaedah fiqh:

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya:

“Tindakan (arahan) pemerintah terhadap rakyatnya adalah berdasarkan kepada kepentingan umum.” Kesimpulannya, bagi memastikan aspek kepentingan masyarakat khususnya hubungan keluarga terjamin, sesuatu hukum yang pada asalnya sunat boleh menjadi wajib. Atas kapasiti inilah maka pihak pemerintah telah menggubal peruntukan wasiat wajibah untuk memelihara kebajikan anak-anak yatim di peringkat cucu selepas kematian ibu bapa mereka.