fbpx

FITNAH? ANDA DALAM KESUSAHAN!

FITNAH? ANDA DALAM KESUSAHAN!

Kebebasan bersuara telah ditetapkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, ia tidak memberi seseorang kebebasan mutlak kerana terdapat pengecualian dan undang-undang mengambil kira fitnah sebagai salah satu pengecualian terhadap kebebasan bersuara.

 

Sangkaan atau penyataan berunsur fitnah boleh terdiri daripada libel atau slander: –

1. Libel

Libel adalah pernyataan fitnah dalam bentuk bahan bercetak dan tetap  seperti gambar dan termasuk juga pos-pos di sosial media seperti Twitter dan Instagram

2. Slander

Slander pula merupakan  pernyataan fitnah yang berbentuk sementara seperti ucapan dan perbualan.

Elemen-elemen Fitnah

Merujuk kepada kes Ayob Saub v TS Sambanthamurthi [1989], terdapat 3 elemen yang perlu dipenuhi dan dibuktikan bagi sesuatu pernyataan diambil kira sebagai fitnah:

  1. Pernyataan berkenaan hendaklah bersifat fitnah (Pernyataan berkenaan boleh menjatuhkan reputasi seseorang dari pandangan khalayak ramai)
  2. Pernyataan tersebut hendaklah ditujukan dan merujuk kepada pihak yang terjejas
  3. Pernyataan tersebut telah diterbitkan, disebarkan dan difahami dengan jelas oleh pihak ketiga atau pihak selain pihak yang terjejas

Apakah itu sindiran (innuendo)?

Sindiran ataupun innuendo adalah perkataan yang sederhana tapi mempunyai dan memberi maksud yang istimewa kepada sesiapa yang mempunyai pengetahuan istimewa berkenaan sesuatu perkara.

Sebagai contoh, pernyataan “Abu adalah pelanggan tetap di Hotel A” mungkin tidak kelihatan sebagai pernyataan yang berunsur fitnah jika pernyataan itu diterima dalam maksud yang asli (natural and ordinary meaning).

Namun jika Hotel A dikenali sebagai tempat membuat maksiat, justeru pernyataan berkenaan Abu boleh dikatakan sebagai pernyataan berunsur fitnah dari sesiapa yang mempunyai pengetahuan tentang Hotel A.

Bagaimana untuk membuktikan pernyataan berkenaan merujuk kepada Plaintif atau pihak yang terjejas?

Di dalam kes Pardeep Kumar a/l Om Parkash Sharma v Abdullah Sani bin Hashim [2009] 2 MLJ 685, terdapat dua soalan yang perlu dijawab berkenaan isu rujukan terhadap Plaintif:

  1. Sama ada pernyataan berunsur fitnah tersebut boleh dilihat sebagai berkemampuan untuk merujuk kepada Plaintif; dan
  2. Sama ada orang yang munasabah (reasonable person) yang kenali Plaintif akan menyimpulkan bahawa pernyataan yang berunsur fitnah tersebut merujuk kepada Plaintif.

Situasi yang jelas adalah apabila pernyataan tersebut merujuk kepada seseorang itu dengan menggunakan nama. Namun terdapat juga situasi dimana pernyataan tersebut tidak merujuk kepada seseorang itu dengan menggunakan nama.

Sebagai contoh, pernyataan “Bekas CEO dari Syarikat B pada tahun 2012 mempunyai tabiat untuk mengambil rasuah” dengan jelasnya merujuk kepada individu spesifik yang boleh dikenal pasti tanpa menggunakan nama.

Pembelaan dalam kes Fitnah

Antara pembelaan yang boleh diambil kira dalam kes Fitnah ialah

  1. Justifikasi (Justification)
  2. Keistimewaan Mutlak (Absolute Privilege)
  3. Keistimewaan Layak (Qualified Privilege)
  4. Keistimewaan Reynold
  5. Komen yang Adil (Fair Comment)

Justifikasi

Pembelaan justifikasi boleh dibangkitkan apabila pernyataan yang diterbitkan dan disebarkan oleh defendan merupakan pernyataan yang benar. Beban adalah terletak di atas bahu defendan untuk membuktikan kebenaran bahawa keseluruhan atau sebahagian besar pernyataan tersebut adalah benar. 

Keistimewaan Mutlak (Absolute Privilege)

Pembelaan keistimewaan mutlak boleh dibangkitkan di dalam situasi dimana pernyataan berunsur fitnah diterbitkan dan disebarkan di dalam:

  1. Perbicaraan Mahkamah
  2. Parlimen
  3. Laporan Polis
  4. Pernyataan yang diberi kepada pihak polis di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah

Pembelaan keistimewaan mutlak boleh diguna pakai walaupun pernyataan itu dibuat dengan niat jahat oleh pemfitnah.

Keistimewaan Layak (Qualified Privilege)

Pembelaan keistimewaan layak boleh digunakan apabila pernyataan berunsur fitnah itu:

  • Diterbitkan dan disebarkan oleh pihak yang mempunyai faedah atau tanggungjawab untuk menerbitkan pernyataan tersebut kepada pihak yang menerima penerbitan pernyataan berunsur fitnah itu
  • Pihak yang menerima penerbitan pernyataan berunsur fitnah itu mempunyai faedah atau tanggungjawab untuk menerima penerbitan tersebut (Abdul Rahman Talib v Seenivasagam & Anor [1965] 1 MLJ 142).

Sebagai ilustrasi, seorang pekerja mengarang satu surat rungutan berkenaan tingkah laku penyelia yang menyalahi undang-undang dan diberi kepada pengurusan syarikat. Surat tersebut mempunyai pernyataan yang boleh diambil kira sebagai pernyataan berunsur fitnah terhadap penyelia tersebut. Surat pekerja itu kemungkinan besar dilindungi oleh keistimewaan layak.

Komen Yang Adil (Fair Comment)

Di dalam kes Gwee Tong Hiang v Boo Cheng Hau [2016] 2 MLJ 38, bagi membangkitkan pembelaan komen yang adil, antara elemen-elemen yang perlu dipenuhi adalah:

  1. Pernyataan berunsur fitnah tersebut hendaklah merupakan komen dan bukan penyataan fakta
  2. Komen tersebut hendaklah berdasarkan fakta yang telah dibuktikan sebagai benar
  3. Komen tersebut mestilah adil
  4. Komen tersebut hendaklah terhadap perkara yang melibatkan kepentingan awam
  5.  

Sebagai ilustrasi, seorang wartawan mahkamah menerbitkan satu artikel berkenaan  perbicaraan di mahkamah. Artikel tersebut mempunyai pernyataan dimana salah seorang peguam yang terlibat di dalam pembicaraan mahkamah itu tidak mengikut arahan hakim. Peguam tersebut menyatakan bahawa pernyataan tersebut berunsur fitnah.

Namun, wartawan mahkamah itu boleh membangkitkan pembelaan komen yang adil jika komen tersebut adalah berdasarkan pemerhatian yang jujur dan adil tentang apa yang berlaku di dalam pembicaraan tersebut.

Niat Jahat (Malice)

Kedua-dua pembelaan keistimewaan layak dan komen yang adil tidak boleh diterima jika pernyataan berunsur fitnah tersebut diterbitkan dengan niat jahat.

Contoh-contoh niat jahat boleh didapati apabila:

  • Apabila Plaintif boleh buktikan bahawa Defendan tidak percaya apa yang dinyatakan (bagi keistimewaan layak) atau tidak memberi komen yang jujur
  • Apabila ketidakpastian fakta yang diterbitkan oleh Defendan boleh dibuktikan, terutama sekali apabila Defendan mempunyai cara untuk membuat pertanyaan bagi membuktikan fakta yang diterima adalah benar

Konklusi

Sebagai konklusi, apabila anda menerbitkan sesuatu pernyataan di Facebook atau dimana-mana tempat, anda hendaklah:

  1. Membuat pernyataan berdasarkan fakta yang benar
  2. Membuat komen yang adil dan jujur
  3. Membuat laporan kepada pihak yang berkaitan
  4. Melindungi kepentingan seseorang

Dan anda juga perlu diingatkan bahawa anda dilarang untuk membuat komen pernyataan seperti:

  • Khabar angin dan penipuan
  • Spekulasi tentang seseorang
  • Membuat serangan terhadap watak seseorang

Dapatkan Free Consultation

Dapatkan free consultation dari team Isadora dengan menekan butang di bawah.