21 Aug HARTA INTELEK ( IP / INTELLECTUAL PROPERTY )
HARTA INTELEK
(IP / INTERLLECTUAL PROPERT)
HAK CIPTA HARTA INTELEK
Harta intelek di sini adalah merujuk kepada hasil kreativiti yang merangkumi pelbagai aspek seperti karya muzik, sastera dan seni, reka cipta serta rekaan produk. Begitu juga dengan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan seperti hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan juga dirujuk di bawah harta intelek. Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang/pemilik bagi salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta/reka.
Perbezaan Di Antara Paten, Cap Dagangan, Hak Cipta & Rekabentuk Industri
Di dalam undang-undang harta intelek, pemilik sesuatu harta intelek diberi hak-hak eksklusif terhadap pelbagai jenis harta tidak ketara seperti muzik, penulisan, lukisan, penemuan dan ciptaan, perkataan, simbol dan reka bentuk. Di antara jenis-jenis harta intelek yang biasa dikenali ialah paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta. Ramai di antara kita mungkin biasa dengan istilah-istilah seperti paten, cap dagangan dan hak cipta, namun tidak ramai yang mengetahui apakah maksud di sebalik istilah-istilah ini dan perbezaannya.
Secara umumnya, paten (patent – bukannya ‘pattern’) merujuk kepada ciptaan baru atau inovasi terhadap produk sedia ada. Jika kita telah merekacipta sesuatu ciptaan baru atau teknologi yang masih belum wujud di dunia ini, maka ciptaan ini boleh dilindungi di bawah paten dan setiap perlindungan paten sah untuk tempoh 20 tahun. Perlindungan paten bermaksud pemilik paten tersebut boleh mengambil tindakan di bawah undang-undang paten sekiranya paten miliknya ditiru atau disalah guna oleh pihak lain.
Cap dagangan atau ‘trade mark’ di dalam bahasa Inggeris merujuk kepada satu tanda yang dapat membezakan antara barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemiliknya dengan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemilik lain. Cap dagangan merangkumi perkataan, huruf, nombor, nama, tandatangan, logo dan kombinasi antaranya. Di antara contoh cap dagangan yang popular ialah seperti McDonald, Coca Cola, Proton dan sebagainya. Pendaftaran cap dagangan membolehkan pemiliknya mendapat perlindungan selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun.
Reka bentuk perindustrian (industrial design) merujuk kepada penampilan bentuk, corak atau ukiran sesuatu produk. Reka bentuk perindustrian merangkumi bentuk 3 dimensi pada bentuk atau permukaan sesuatu objek atau bentuk 2 dimensi seperti corak dan garisan atau warna. Antara contoh reka bentuk perindustrian ialah reka bentuk kereta, corak pada permaidani dan ukiran pada produk berasaskan kayu. Pendaftaran reka bentuk perindustrian membolehkan pemiliknya mendapat perlindungan selama 25 tahun.
Hakcipta (copyright) adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Di Malaysia, tiada sebarang pendaftaran diperlukan bagi mendapatkan perlindungan kerana perlindungan diperoleh secara automatik sebaik sahaja sesuatu karya diterjemahkan di dalam sebarang bentuk seperti penulisan, persembahan dan sebagainya. Namun pemilik hakcipta boleh membuat pemberitahuan sukarela bagi membuktikan pemilikan sesuatu hak cipta. Di antara contoh hasil kerja yang dilindungi oleh undang-undang hak cipta adalah:
(i) Karya sastera;
(ii) Karya muzik;
(iii) Karya seni;
(iv) Filem;
(v) Rakaman bunyi;
(vi) Siaran (broadcast); dan
(vii) Karya terbitan.
Dari segi perlindungan, bagi karya sastera, seni dan muzik tempoh perlindungan adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran, perlindungan adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan.
Pendaftaran dan pentadbiran harta intelek di Malaysia dikendalikan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Bagi urusan pendaftaran paten, cap dagangan dan rekabentuk perindustrian, pihak MyIPO telah melantik ejen-ejen bertauliah bagi mengendalikan pendaftaran bagi pihak pemilik harta intelek. Tugas ejen-ejen ini adalah memberi khidmat nasihat dari segi teknikal dan prosedur perundangan berkenaan pendaftaran dan perlindungan harta intelek.
Kesimpulannya, pemilik-pemilik bisnes dan pemilik-pemilik produk adalah disarankan untuk mendaftarkan paten, cap dagangan dan hak cipta agar produk-produk milik mereka dilindungi di bawah undang-undang. Hal ini penting untuk mengelakkan sebarang peniruan, penyalahgunaan dan “passing-off” yang mana pemilik produk yang berdaftar boleh menyaman pihak yang menyalahgunakan nama produknya.