fbpx

PELANGGARAN TANDA DAGANGAN

PELANGGARAN TANDA DAGANGAN

CASE REVIEW –
LAW OF TORT: PASSING-OFF

Hafiz Hamidun vs Kamdar

 

Sebelum bermula, sila fahami 7 benda ini dahulu:

1. Kes ini berkenaan Passing-off (Kelirupaan).

2. Ianya bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2018.

3. Kemudian, Mahkamah Rayuan pada tahun 2019.

4. Mahkamah Tinggi memihak kepada Hafiz Hamidun.

5. Mahkamah Rayuan memihak kepada Kamdar. Namun, alasan penghakiman masih belum keluar.

6. Justeru, ringkasan ini adalah berdasarkan keputusan dari Mahkamah Tinggi sahaja (2018).

7. Jikalau Mahkamah Rayuan sudah keluarkan alasan penghakiman mereka, maka artikel lain akan ditulis berdasarkan dokumen itu.

 

FAKTA KES:

Hafiz Hamidun (HH) adalah seorang artis nasyid. Beliau mendapat tahu Kamdar menggunakan nama “Hafiz Hamidun” pada papan tanda harga dan beberapa fabrik yang dijual di Kamdar. Beliau kemudian menghantar surat amaran kepada Kamdar, memaklumkan kesalahan yang Kamdar telah lakukan. Namun surat tersebut tidak dijawab oleh Kamdar. Sebaliknya, HH dapat tahu fabrik-fabrik tersebut terus dijual, tetapi dengan nama yang lain, “Afiz Amidun”. Beliau mula menyaman Kamdar atas kesalahan Passing-off (Kelirupaan) pada tahun 2018.

HUJAH HAFIZ HAMIDUN:

Kamdar tidak pernah meminta kebenaran untuk menggunakan nama beliau. Maka, perbuatan Kamdar itu adalah salah dan telah mengelirukan pengguna. HH sendiri adalah seorang artis nasyid yang dikenali dan telah mempunyai nama dalam persada industri muzik. HH juga mempunyai perniagaan dalam fabrik dan fesyen yang menggunakan nama beliau sendiri (fakta ini penting untuk diambil perhatian di dalam kes kelirupaan). Justeru, perbuatan Kamdar sebenarnya telah mengelirupakan produk Kamdar sebagai sesuatu yang dijual bersama HH.

HUJAH KAMDAR:

Kamdar percaya yang mereka tidak pun melakukan kesalahan Passing-off. Sudah menjadi satu polisi Kamdar untuk tidak menggunapakai nama-nama selebriti pada produk-produk mereka. Kamdar tidak tahu pun pasal nama HH yang telah digunakan pada fabrik tekstil mereka sehinggalah Kamdar menerima surat dari HH.

Setelah menerima surat dari HH, dan bagi memenuhi tuntutan beliau, Kamdar terus menukar nama yang dicetak pada fabrik mereka kepada “Afiz Amidun”. Nama syarikat mereka yakni “Kamdar” telah didaftarkan sebagai cap dagang (registered trademark) dan sudah cukup kukuh dalam perniagaan tekstil. Pelanggan-pelanggan membeli produk mereka atas sebab mereka percaya dengan nama, service, dan kualiti “Kamdar” – dan bukannya dengan apa apa nama yang digunakan pada tekstil. Kamdar menambah, HH tidak mempunyai monopoli ke atas nama “Hafiz Hamidun” kerana beliau sendiri tidak pernah mendaftarkan nama tersebut sebagai cap dagang (unregistered trademark).

ISU DI MAHKAMAH TINGGI (2018):

Samaada Kamdar telah melakukan kesalahan Passing Off (Kelirupaan)?

Dengan kata lain, apabila Kamdar menggunakan nama “Hafiz Hamidun”, adakah Kamdar telah mengelirupakan produk mereka sebagai produk yang dijual oleh, atau bersama, HH?).

ELEMEN PASSING-OFF DAN PENDAPAT MAHKAMAH TINGGI (2018):

Undang-undang Passing Off (Kelirupaan) memerlukan Hafiz Hamidun untuk membuktikan 3 perkara:

Elemen 1: Goodwill (Nama Baik)

Ini adalah elemen pertama HH kena buktikan. Isunya, adakah HH mempunyai suatu “Goodwill” (nama baik) dalam nama “Hafiz Hamidun” tersebut?

Goodwill adalah “an attractive force which brings in custom” (Muller’s Case, 1901).

Dengan kata lain, Goodwill ni adalah satu tarikan yang membuatkan kita rasa nak beli atau tergoda dengan sesuatu. Goodwill ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun masyarakat sendiri boleh merasakan  tarikan tersebut. Secara semulajadi, selebriti popular mempunyai tarikan yang lebih tinggi daripada orang biasa.

Goodwill terwujud dan terbentuk atas beberapa faktor seperti faktor promosi yang meluas, atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi yang boleh menyebabkan pengguna kenal dan tahu tentang sesuatu benda.

Di dalam kes ini, jawapan kepada elemen ini adalah positif. Mahkamah Tinggi bersetuju dengan Hafiz Hamidun dan mendapati beliau telah mempunyai satu Goodwill dalam nama tersebut.

Hal ini adalah kerana beliau memang sudah dikenali sebagai artis nasyid yang popular, serta sudah menerbitkan banyak album dan lagu. Malah, Lagu-lagu beliau juga boleh dimuat turun di Spotify, dan ditonton di Youtube dan lain-lain. HH telah dinamakan sebagai salah seorang dari 500 Personaliti Paling Berpengaruh di Dunia (bagi kategori Arts dan Culture) dan beliau mempunyai ramai pengikut dan peminat dalam media sosial (Twitter, Facebook, Instagram). Carian nama beliau di dalam Google juga memberikan banyak pautan tentang penyanyi nasyid ini.

Selain itu, yang lebih penting ialah kesemua barangan perniagaan yang dijual oleh HH juga telah dipromosikan dan dijual atas nama beliau sendiri. Justeru, berdasarkan fakta-fakta di atas, Mahkamah Tinggi berpendapat nama “Hafiz Hamidun” ini telah mempunyai satu Goodwill (nama baik). 

Dengan kata lain, nama HH mengandungi Goodwill dan sudah mencapai status Goodwill yang dikehendaki oleh mahkamah. Dapatan mahkamah ini juga disokong dengan bukti mesej dari peminat-peminat beliau sendiri yang bertanya tentang produk fabrik dijual di Kamdar.

Elemen 2: Misrepresentation (Gambaran Salah)

Ini adalah element kedua yang HH kena buktikan. Isunya, adakah Kamdar telah memberikan satu gambaran salah tentang produk yang dijual? 

Menurut kes Warmal (2018), ada beberapa yang perlu kita tahu tentang elemen ke 2 ini. Antaranya adalah:

  • Misrepresentation adalah satu perbuatan memberikan gambaran yang salah dan berkecenderungan untuk mengelirukan orang awam tentang produk yang dijual.

  • “Actual confusion” tidak perlu dibuktikan. Cukuplah pihak Plaintiff untuk menunjukkan sekadar “the likelihood of confusion”, yakni, kecenderungan untuk berlakunya kekeliruan. 

  • Plaintiff tidak perlu untuk membuktikan Defendan telah berniat untuk menipu.

  • Misrepresentation bagi tujuan Passing Off juga boleh berlaku andai kata seseorang memberikan gambaran salah walaupun dengan tanpa niat. 

Kembali kepada kes ini, jawapan untuk elemen ke 2 ini juga positif. Mahkamah Tinggi bersetuju dengan Hafiz Hamidun dan mendapati Kamdar telah memberikan satu gambaran yang salah tentang produk yang dijual oleh mereka.

Hal ini adalah kerana Kamdar sendiri sudah menyebut yang pengguna membeli barang mereka sebab nama “Kamdar” sendiri. Jika begitu, mengapakah Kamdar tetap menggunakan nama orang lain dalam menjual produk mereka? Kamdar tidak sepatutnya berbuat begitu jika nama “Kamdar” itu sendiri sudah cukup untuk manarik pelanggan.

Walaupun secara faktanya Kamdar tidak pernah meminta persetujuan HH utk menggunakan nama beliau, Kamdar masih terus guna nama HH pada fabrik dan papan tanda harga. Perbuatan ni sudah menimbulkan satu tanggapan yang kuat (irresistible inference) bahawa Kamdar mahu menunggang Goodwill (nama baik) Hafiz Hamidun.

Para peminat HH pernah menghantar mesej kepada beliau, bertanyakan tentang produk fabrik yang dibeli dari Kamdar – mereka fikir HH dan Kamdar mungkin ada sebarang kerjasama sedangkan tiada apa-apa pun antara HH dan Kamdar. Situasi ini sudah menunjukkan suatu kekeliruan dan gambaran yang salah sudah wujud.

Sekiranya Kamdar rasa perbuatan mereka itu langsung tidak mencetuskan kekeliruan, mengapakah Kamdar menukar nama “Hafiz Hamidun” kepada “Afiz Amidun”? Perbuatan ini juga menunjukkan bahawa Kamdar sendiri sudah rasa bahawa apa mereka buat itu adalah bermasalah.

Akhir sekali, Kamdar sudah berhenti dari menggunakan nama “Hafiz Hamidun” dan “Afiz Amidun” selepas mereka di saman. Kalau Kamdar rasa perbuatan mereka itu tidak memberikan gambaran yang salah, mengapakah mereka berhenti dari memakai nama tersebut?

Justeru, berdasarkan fakta-fakta di atas, Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa Misrepresentation (gambaran salah) telah wujud dari perlakuan Kamdar. Atas sebab gambaran salah dari pihak Kamdar juga, orang sekelilling telah berasa keliru tentang keadaan tersebut (berdasarkan respon dari peminat HH).

Elemen 3: Damage (Kerugian, Kerosakan)

Ini adalah elemen terakhir HH kena buktikan. Isunya, adakah HH berpontensi untuk menanggung kerugian akibat dari perbuatan Kamdar? Seperti elemen ke-2 di atas, HH hanya perlu buktikan yang beliau berpotensi untuk menanggung kerugian (likelihood of damage) kesan dari perbuatan Kamdar.

Dalam kes ini, jawapan untuk elemen ke-3 juga adalah positif. Mahkamah Tinggi mendapati bahawa perbuatan Kamdar adalah cenderung untuk menyebabkan HH untuk menanggung kerugian. 

Hal ini adalah kerana:

1. Produk yang dijual oleh Kamdar adalah jauh lebih murah daripada produk yang dijual oleh HH.

2. Produk HH jauh lebih eksklusif dan terhad kuantitinya. Maka, jika Kamdar guna nama “Hafiz Hamidun” dengan tanpa kebenaran HH, tiada siapa lagi yang mahu membeli produk beliau sendiri. 

3. Andaikata produk yang dijual Kamdar itu (yang tertera nama “Hafiz Hamidun”) didapati berkualiti rendah, keadaan ini boleh menyebabkan pengguna jadi kurang percaya dengan produk HH, sekaligus boleh merosakkan goodwill (nama baik) pada nama HH. 

Justeru, berdasarkan dapatan-dapatan di atas, Mahkamah Tinggi bersetuju bahawa perbuatan Kamdar yang menggunapakai nama “Hafiz Hamidun” pada produk mereka, berpotensi untuk menyebabkan HH menanggung kerugian serta boleh memburukkan Goodwill (nama baik) beliau.

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI

Tuntasnya, Mahkamah Tinggi mendapati:

  1. HH mempunyai Goodwill (nama baik) dalam nama “Hafiz Hamidun”.

2. Kamdar telah memberikan gambaran salah tentang produk yang dijual di premis mereka.

3. HH cenderung untuk menanggung kerugian yang besar dari perbuatan Kamdar.

Justeru, Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa dengan tindakan menggunakan nama “Hafiz Hamidun” pada fabrik kain dan papan tanda harga Kamdar, perbuatan tersebut adalah jelas suatu bentuk Kelirupaan (Passing-off). Maka, tuntutan Hafiz Hamidun wajar dibenarkan. Namun Kamdar telah membuat rayuan ke peringkat seterusnya.

DI MAHKAMAH RAYUAN (2019)

Dengan kekalahan tersebut, Kamdar merayu ke Mahkamah Rayuan. Dalam satu perintah bertarikh 19 Ogos 2019, Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara bersetuju untuk:

1. Menerima rayuan Kamdar.

2. Menolak keputusan Mahkamah Tinggi.

Dengan kata lain, Kamdar menang di Mahkamah Rayuan. Hal ini memeranjatkan kerana berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi, elemen-elemen kelirupaan telah jelas dipenuhi. 

Sehingga kini, Mahkamah Rayuan masih belum mengeluarkan Alasan-alasan Penghakiman. Hanya dengan membaca Alasan Penghakiman dari Mahkamah Rayuan ini sahaja, kita mampu untuk memahami kenapa wujud perubahan pendapat di peringkat atas.

Ada kemungkinan juga Hafiz Hamidun sudah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Kami berharap agar HH meneruskan kes ini ke peringkat seterusnya agar kata putus dapat ditentukan oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia.

 

KESIMPULAN

Untuk menjaga kepentingan pemilik perniagaan, produk-produk dan nama cap dagangan (trade mark), adalah sangat penting untuk ianya didaftarkan melalui bantuan peguam di MyIPO. Di dalam kes Hafiz Hamidun, beliau tidak mendaftarkan nama “Hafiz Hamidun” sehingga nama beliau boleh disalahguna. Sedikit wang yang anda laburkan untuk pendaftaran cap dagangan akan membantu memberikan perlindungan kepada anda pada masa akan datang.

    Tags: